30 November 2010

Kejohanan Silat Olahraga Pra Remaja Piala Dato' Shahril

Kejohanan Silat Olahraga Tertutup dan Jemputan
Daerah Johor Bahru 2010

Piala Dato' Shahril
24 November hingga 28 November 2010
Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor


Pada 24 November hingga 28 November yang lalu, atlet-atlet silat olahraga Pelapis Negeri Johor telah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Tertutup dan Jemputan Daerah Johor Bahru 2010. Kejohanan yang dianjurkan oleh Pesaka daerah Johor Bahru dengan kerjasama Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor, Pejabat Daerah Johor Bahru, dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor ini telah disertai oleh seramai 141 orang pesilat pra remaja (12 hingga 15 tahun) dari pelbagai persatuan di sekitar daerah Johor Bahru dan Singapura.

Antara perguruan yang menyertai kejohanan ini adalah Persatuan Seni Silat Pahlawan (2 pasukan), Persatuan Seni Silat Hulubalang (1 pasukan), Persatuan Seni Silat Kerawangan Pradin Chemandir (5 pasukan), Persatuan Seni Silat Abjad (A) Malaysia (2 pasukan), Persatuan Seni Silat Sendeng Hang Tuah (2 pasukan), Persatuan Silat Seni Golok Negeri Johor (2 pasukan), dan juga pasukan jemputan dari Singapura, Singapore Silat Federation (2 pasukan).

Kejohanan yang berlangsung selama 5 hari ini menyaksikan Singapore Silat Federation telah berjaya merangkul Piala Pusingan Dato' Shahril dan Piala Johan Keseluruhan dengan kutipan pingat sebanyak 12 emas, 3 perak, dan 2 gangsa. Manakala atlet-atlet Pelapis Johor yang mewakili Persatuan Silat Seni Golok Negeri Johor berada di belakang Singapore Silat Federation dengan kutipan pingat sebanyak 7 emas, 6 perak, dan 6 gangsa. Tempat ketiga keseluruhan disandang oleh Persatuan Seni Silat Pahlawan dengan kutipan pingat sebanyak 3 emas, 2 perak, dan 1 gangsa.

Dua orang atlet Pelapis Negeri Johor, Razali Shakir bin Rahmat (13 tahun) telah dipilih sebagai Pesilat Terbaik Putera dan Maizal Aizat bin Mansur (13 tahun) telah dipilih sebagai Pesilat Harapan Putera pada kejohanan ini.

Majlis penutup kejohanan diserikan dengan pertandingan khas kategori semi pra remaja yang menemukan 3 orang atlet Pelapis Negeri Johor, iaitu Mohd Solihin Abdul Aziz (10 tahun), Maizal Mazli Mansur (9 tahun), dan Mohd Pindy Ahmat (10 tahun) dengan 3 orang pesilat semi pra remaja dari Persatuan Seni Silat Sendeng Hang Tuah dari daerah Kulai Jaya. Pegawai Khas YB Dato' Shahril telah menyempurnakan majlis penutupan kejohanan.


Pesilat Terbaik Kejohanan: Razali Shakir


Pesilat Harapan Putera: Maizal Aizat


Pesilat Semi Pra Pelapis Johor: Mohd Solihin, Mohd Pindy, Maizal Mazli


Pesilat Pra Remaja Pelapis Negeri Johor



..

18 November 2010

PEMANTAUAN PERTANDINGAN SPTS GIMRAMA/GIMNASTIK SERTA PERJUMPAAN BERSAMA JURULATIH MEMANAH

PLN: SEKOLAH SUKAN BANDAR PENAWAR
TARIKH/HARI: 14 NOVEMBER 2010/AHAD
SUKAN: MEMANAH/GIMRAMA.GIMNASTIK

Pada 14 Nov 2010 satu karnival sukan SPTS Negeri Johor telah diadakan di Sekolah Sukan Bandar Penawar yang telah melibatkan sukan-sukan seperti Gimrama, Gimnastik, Memanah dan olahraga. Di kesempatan itu Pegawai Pembangunan Negeri Pelapis Johor telah mengambil peluang ini dengan memantau beberapa orang atlet dari PLN Pelapis yang terlibat di kejohanan tersebut terutamanya gimrama. Seperti yang dijangkan atlet dari PLN Batu Pahat (Gimrama) telah menunjukkan prestasi yang baik dari kategori 'Little Gimnast' di mana mereka telah mengatasi atlet-atlet dari daerah-daerah lain di Negeri Johor. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Jurulatih Gimrama kita iaitu Miss Teo Teng-teng di atas usaha dan kerjasama yang beliau berikan demi membangunkan sukan gimrama Negeri Johor. Tidak dilupakan juga ucapan tahniah kepada para atlet yang bertanding.


Semasa Pertandingan Gimrama Berlangsung





Sukan Gimnastik juga turut diadakan di kejohanan SPTS ini namun atlet dari PLN Pelapis Johor tidak dapat turut serta di atas alasan-alasan yang munasabah. Keseluruhan atlet adalah dari Gred 1. Dan sepanjang kejohanan tersebut berlangsung En Khairuddin selaku Jurulatih Penuh Masa telah membantu para guru dengan memberi tunjuk ajar dalam beberapa aspek yang penting di dalam sukan Gimnastik. Diharap kerjasama di antara USPTN dan SPTS Negeri Johor akan terus berkekalan.



En Khairuddin membantu di dalam memberi penilaian kepada gimnast.
Our Future Gimnast.


Dikesempatan ini PPN juga telah berjumpa bersama Jurulatih baru Memanah yang ditempatkan oleh Kementerian Pendidikan di Sekolah Sukan Bandar Penawar. Beliau juga bakal dijadikan Jurulatih Sambilan bagi Program Pelapis Johor di SSBP bermula tahun 2011. Beliau ialah En Halim iaitu jurulatih dari negeri Perak dan beliau juga telah melahirkan atlet-atlet yang telah mengharumkan nama Negara seperti Mabawi dan yang lain-lain. Diharap dengan kehadiran beliau ini akan dapat memberi semangat yang tinggi kepada para atlet kerana berpeluang berlatih dibawah didikan Jurulatih yang telah melahirkan ramai Pemanah Negara.



Semasa Kejohanan Memanah berlangsung.


Isu-isu Berbangkit:-

  1. En Halim berharap dengan kehadiran beliau di Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri dapat menggunakan peluang ini dengan sebaiknya dalam meningkatkan lagi prestasi atlet Johor.
  2. Beliau juga berharap lebih ramai pemanah dari Negeri Johor dapat ditempatkan di Sekolah Sukan Bandar Penawar.
  3. Beliau juga berharap agar diberi elaun yang setimpal dengan pengalaman yang beliau ada dan diharap MSNJ dapat membantu dari segi aspek-aspek lain. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Ketua Unit USPTN.
Sekian Laporan dari PPN Radziah.

10 November 2010

KARNIVAL SUKAN PELAPIS 02/2010

KEPUTUSAN RASMI 
PASUKAN MENEMBAK PELAPIS NEGERI JOHOR 
DI KARNIVAL SUKAN PELAPIS NEGERI 02/2010

Seremban; Karnival Sukan Pelapis Negeri 02/2010 Sukan Menembak yang berlangsung di Lapangsasar Menembak Mantin , Negeri Sembilan pada 29hb dan 30hb Oktober hanya mempertandingkan 8 acara sahaja iaitu, air pistol individu lelaki dan wanita, air rifle individu lelaki dan wanita, air pistol berpasukan lelaki dan wanita dan air rifle berpasukan lelaki dan wanita.

Pada karnival ini, pasukan Menembak Pelapis Negeri Johor telah menghantar seramai 10 orang atlet bawah 16 tahun yang terdiri 6 lelaki dan 4 wanita serta 2 orang jurulatih. Secara keseluruhan pasukan menembak pelapis negeri Johor menduduki tempat ke-2 bersama pasukan Sabah dengan memenangi 1 pingat emas dan 2 pingat perak. Johan keseluruhan adalah pasukan Pahang dengan 3 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa.

Berikut adalah keputusan rasmi pasukan menembak pelapis negeri Johor di Karnival Sukan Pelapis Negeri 02/2010 yang lalu: -

Emas - Acara Air Pistol Lelaki Individu - Eddy Chew (648.7 mata)
Perak - Acara Air Pistol Lelaki Berpasukan - Eddy Chew / Nor Afiffuddin Bin Nordin / Koh Zhe Wei (1568 mata)
Perak - Acara Air Rifle Wanita Individu - Nur Aidatul Elia Binti Abd Rahim ( 476.7 mata)

Berikut adalah antara aksi-aksi atlet menembak pelapis negeri Johor: -


 Aksi Muhammad 'Izzat Saufi Burhanudin di peringkat final air rifle lelaki individu. Walaupun menduduki tempat ke-8, namun kepujian harus diberikan kerana berjaya keperingkat akhir.
 

 
Pemenang pingat emas acara air pistol lelaki individu dan perak air pistol lelaki berpasukan : Eddy Chew. Tahniah diucakpan.

Terima kasih diatas kerjasama dan bantuan semua pihak di dalam menjayakan penyertaan ke Karnival Sukan Pelapis Negeri 02/2010.

01 November 2010

KARNIVAL SUKAN PELAPIS NEGERI 02/2010
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
27 -31 OKTOBER 2010

MAKAN MALAM BERSAMA PENGARAH MAJLIS SUKAN NEGERI JOHOR

Ketua Unit En. Hafizal Tukemin bersama-sama staff USPTN Johor telah mengadakan makan malam bersama Pengarah MSN Johor pada 30hb Oktober 2010 yang lalu.Kami berterima kasih atas usaha yang bersungguh sungguh daripada Pengarah yang sempat memberikan sokongan walaupun sibuk dengan activiti dan jadual yang sibuk.