ANGKAT BERAT CATAT DUA REKOD KEBANGSAAN
AYER KEROH (17 JUN 2010) - Dua rekod kebangsaan dileburkan dalam acara angkat berat wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh di sini hari ini. Rekod tersebut dilakar oleh jaguh angkat berat dari Johor yang turut menjanjikan empat pingat emas bagi mengukuhkan kedudukan pasukan itu dalam senarai punggutan pingat keseluruhan. | |
Arisha Farra Erwin beraksi dalam kategori wanita tidak melebihi 75kg berjaya mengangkat bebanan 85kg dalam acara snatch dan 102kg bagi clean dan jerk untuk menyumbang dua emas. Catatan itu membolehkan Arisha Farra memperbaharui rekod lama miliknya iaitu 81kg untuk snatch dan 100kg bagi clean dan jerk Manakala rakan senegerinya, Tey Shang Fun yang bersaing dalam kategori wanita melebihi 75kg melakukan angkatan 84kg bagi snatch serta 106kg bagi clean dan jerk turut memadamkan rekod miliknya iaitu 84kg bagi snatch dan 106kg untuk clean dan jerk. Sementara itu, Firdaus Abdul Razak dari Kedah memecah dominasi Johor apabila menyumbang dua emas menerusi acara snatch serta clean dan jerk bagi kategori lelaki tidak melebihi 94kg. | |
Firdaus melakukan angkatan 141kg dalam acara snatch untuk meraih emas diikuti oleh Mohd. Faiz Musa dari Perlis dengan 125kg dan Mohd. Raduan Abu Bakar dari Negeri sembilan memenangi gangsa dengan 114kg. Jaguh angkat berat dari Kedah meraih emas kedua bagi clean dan jerk dengan catatan 181kg, pingat perak dimenangi oleh Mohd. Faiz mencatat 166kg dan gangsa buat Mohd. Raduan dengan 139kg. Bagi acara snatch kategori wanita tidak melebihi 75kg, pingat perak menjadi milik Zuraini Che Rose yang mengangkat 73kg dan Marlina Nordin dari Johor mendapat gangsa dengan 69kg. Dalam clean dan jerk kategori yang sama, Putri Khairul Nursyakirah Hussin dari Kedah mendapat perak dengan angkatan 86kg dan Zuraini Che Rose dari Pahang meraih gangsa melakukan 85kg. Pingat perak dan gangsa acara snatch melebihi 75kg pula, ia didominasi oleh atlet dari Kelantan menerusi Siti Amida Aris dan Noor Adila Ali. Masing-masing mengangkat bebanan 73kg dan 66kg. Bagi kategori yang sama menerusi acara clean dan jerk, Siti Amida turut meraih perak dengan 95kg manakala Nurul Hatimi Azmi dari Terengganu mendapat gangsa mencatat 85kg. |
No comments:
Post a Comment