JOHOR RAIH DUA EMAS MENERUSI ACARA GOLF
| AYER KEROH (16 JUN 2010) - Johor menyapu dua daripada empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara golf di Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 yang menutup tirai aksi di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) di sini hari ini. Dua emas yang diraih oleh Johor ialah dalam acara individu dan berpasukan wanita. |
Kelly Tan Guat memenangi acara individu wanita apabila melakukan 73 pukulan dan keseluruhan mengumpul 218 pukulan untuk meraih pingat emas.
Vivienne Chin dari Sabah yang melakukan 74 pukulan pada saingan hari terakhir keseluruhan mengumpul 221 pukulan bagi meraih pingat perak dan Iman Ahmad Nordin dari Pahang mendapat gangsa apabila mencatat 226 pukulan.
Dalam acara individu lelaki pula, Chan Tuck Soon dari Wilayah Persekutuan terpaksa berhempas pulas hingga ke permainan penentuan sudden-death sebanyak tiga kali sebelum dapat mengetepikan Chin Jun Nian dari Sabah dan Mohd. Iylia Jamil dari Selangor untuk meraih emas. |
| |
Ketiga-tiga pemain itu menamatkan saingan tiga hari pertandingan apabila masing-masing terikat dengan 218 pukulan hingga mengheret ke perlawanan penentuan sudden-death bagi menentukan pemenang mutlak acara tersebut.
Pada permainan sudden-death pertama di lubang 18 Par-5 dengan jarak 604 meter, Mohd. Ilya tersingkir awal. Keadaan itu membolehkan penentuan pingat emas ditentukan antara Tuck Soon dan Jun Nian pada sudden-death kedua namun kedua-duanya terikat apabila masing-masing melakukan catatan par.
Namun pada permainan sudden-death ketiga, kemenangan memihak kepada Tuck Soon untuk meraih emas apabila berjaya melakukan par ketika Jun Nian sekadar membuat bogey di lubang 18.
''Saya gembira dengan kemenangan ini walaupun terpaksa mengharungi aksi yang begitu lama. Tiga permainan sudden-death terpaksa saya lalui tetapi saya puas berjaya meraih pingat emas,'' katanya.
Johor meraih pingat emas kedua dalam acara berpasukan wanita (Ardilla Ali, Kelly Tan Guat dan B.K Asha Lakshme) mengumpul 450 pukulan dikuti oleh Pahang (Iman Ahmad Nordin, Michelle Koh, Sharon Lau May Yen) mendapat perak dengan 455 pukulan dan Selangor (Ainil Johani, Isza Fariza Ismail, Khairunhanisah Azlan Hanif) meraih gangsa dengan 456 pukulan.
Dalam acara berpasukan lelaki pula, emas dimenangi oleh Selangor (Gavin Kyle Green, Mohd. Iylia Jamil, Kenneth De Silva, Mohd. Iszaimi) mengumpul 662 pukulan, Wilayah Persekutuan (Kim Leun Kwang, Chan Tuck Soon, Ng Choo Sian, Tan Wei Chean) mendapat perak dengan 667 pukulan dan Sabah (Chin Jun Nian, Lam Yu Shuen, Albright Chong, Alexander Lau) memenangi gangsa mencatat 672 pukulan. |
|
No comments:
Post a Comment