01 January 2010

Pesilat Pelapis Johor Cemerlang di Muar dan Kedah

Sepanjang bulan Disember 2009 yang lalu, pasukan Pencak Silat Pelapis Negeri Johor telah menyertai dua kejohanan yang dijalankan dalam waktu yang sama, iaitu Sukan Johor di Muar dan juga Kejohanan Pencak Silat Remaja Kebangsaan 2009 di Kedah.

Sukan Johor yang berlangsung pada 26 hingga 28 Disember 2009 telah disertai oleh 16 orang pesilat dari program Pelapis. Pada temasya ini, pesilat-pesilat Pelapis yang majoritinya mewakili daerah Johor Bahru telah berjaya meraih 9 emas, 2 perak, dan 2 gangsa di bawah bimbingan JSM Raja Ayub Bin Raja Yacub dan dibantu oleh pembantu jurulatih Mohd Sharudin Bin Ghulama Mersul dan Mohd Waliyuddin Hanis Bin Nordin. Temasya ini juga merupakan medan untuk memilih atlet-atlet yang akan mewakili Negeri Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA). Semoga pesilat-pesilat Pelapis Negeri Johor akan terus berusaha untuk berjaya mengharumkan nama Negeri Johor dalam SUKMA di Melaka kelak.



Di Kedah pula, pesilat-pesilat Pelapis Negeri Johor bawah 17 tahun juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya meraih 2 emas, 6 perak, dan 7 gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Remaja Kebangsaan 2009 yang berlangsung pada 24 hingga 28 Disember 2009. Pasukan Pencak Silat Pelapis Negeri Johor yang terdiri daripada 18 orang pesilat yang beraksi pada kejohanan ini membariskan muka-muka baru dan dibimbing oleh JSM Syarina Abdul Fatah dan dibantu oleh pembantu jurulatih Mohd Awis Bin Nordin dan SDO Black sebagai Pengurus Pasukan. Walaupun kebanyakannya merupakan pesilat baru, namun Pelapis Johor telah berjaya memberikan saingan kepada pasukan Pelapis dari negeri-negeri lain yang lebih berpengalaman. Semoga dengan kejayaan yang dikecapi kali ini akan memberikan mereka semangat untuk terus memajukan diri, sekaligus berazam untuk mencapai kemenangan di kejohanan-kejohanan yang akan datang.



..

1 comment: